Pengenalan Wakaf

/Pengenalan Wakaf
Pengenalan Wakaf 2018-05-03T10:32:28+00:00

Konsep Wakaf

Wakaf dari segi bahasa bermaksud berhenti, menegah dan menahan. Maksud wakaf dari segi istilah pula adalah menahan sesuatu harta seseorang yang boleh dimanfaatkan oleh orang lain. Harta yang diwakafkan hendaklah berada dalam keadaan yang baik, kekal dan tujuan ia melakukan wakaf adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan memberi kebajikan kepada orang lain. Pewakaf juga tidak lagi mempunyai hak ke atas harta wakaf tersebut.

 

Rukun Wakaf

Terbahagi kepada empat iaitu pewakaf (waqif), harta yang diwakafkan (mawquf), penerima wakaf (mawquf ‘alaih) dan penyataan wakaf (sighah).

 

Wakaf Boleh Disumbangkan Dalam Bentuk Wang Tunai

Harta benda di sini amat luas maksudnya termasuklah harta dalam bentuk wang tunai. Pelaksanaan wakaf tunai di Malaysia direalisasikan berdasarkan keputusan mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan pada April 2007 yang menyatakan bahawa sumbangan wakaf dalam bentuk wang adalah dibolehkan dalam Islam.

Pendekatan inovasi melalui wakaf tunai ini, telah mengetengahkan wakaf tunai dan saham wakaf yang lebih telus dan praktikal. Kesemua Majlis Agama Islam Negeri-Negeri di Malaysia telah membenarkan wakaf tunai dipraktikkan berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa No. 77, yang telah diputuskan pada 10-12 April 2007

Oleh itu definisi wakaf tunai bermaksud berwakaf menggunakan wang tunai yang dikumpul di dalam satu tabung amanah di bawah pengurusan Mutawalli/nazir yang diamanahkan untuk mengurus wakaf ini bagi tujuan membiayai aktiviti-aktiviti dan kebajikan amal jariah. Oleh itu, wakaf tunai adalah wakaf boleh alih yang telah direalisasikan berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan manakala sumbangan boleh dibuat dengan menggunakan wang tunai.

 

Pensyariatan Wakaf

Perkataan wakaf dinyatakan dalam al-Quran dan al-Hadith di bawah kumpulan sedekah jariah. Amalan berwakaf termasuk dalam sedekah jariah adalah sangat digalakkan oleh Islam. Malah ianya juga adalah satu instrumen sumbangan sukarela yang dijanjikan pahala yang besar oleh Allah SWT. Allah SWT berfirman dalam surah al-Hadid ayat 7 Maksudnya:

 “Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah); mereka tetap beroleh pahala yang besar”

Ayat ini menjelaskan bahawa membelanjakan harta pada jalan Allah (termasuk amalan berwakaf) akan memperoleh pahala yang besar. Allah SWT juga dalam firmanNya, amatlah menggalakkan setiap pemberian yang ingin kita sumbangkan (wakaf) hendaklah sumbangan yang paling baik dan harta yang paling kita sayangi sebagaimana yang dijelaskan dalam Surah Ali ‘Imran ayat 92 yang bermaksud :

“Kamu sekali-kali tidak akan dapat mencapai kebajikan (al-birr) yang sebenarnya sehingga kamu belanjakan (dermakan) sebahagian daripada harta yang paling sayangi dan apa sahaja yang kamu belanjakan (dermakan) dari sesuatu, maka sesungguhnya Allah mengetahuiNya”

(Al-Quran, Ali-Imran: 92)

Allah juga berfirman bahawa inisiatif memberi (wakaf) dengan niat untuk mendapat keredhaan Allah SWT, dijanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda. Malahan Allah SWT telah mengilustrasikan gandaan pahala orang yang suka memberi sumbangan kebajikan dalam apa juga bentuk pemberian termasuklah wakaf seperti dalam Surah al-Baqarah ayat 261 berikut;

“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya”.

(Al-Quran al-Baqarah : 261)

Tidak kurang pula dengan hadith-hadith yang menyokong saranan berwakaf. Antara hadith-hadith yang masyhur dengan galakan berwakaf adalah hadith dengan mafhum nya seperti berikut:

Dari Abu Hurairah (R.A.) bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “Apabila seorang anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: Wakaf ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya.”

(Hadith Sahih – Riwayat Muslim dan lain-lainnya)

 Sedekah jariah yang dimaksudkan dalam hadith tersebut adalah sedekah yang tujuannya untuk memperoleh ganjaran pahala yang berpanjangan. Para ulama’ fiqah berpendapat sedekah jariah ini merujuk kepada amalan wakaf. Abu Hurairah (R.A) berkata, Rasulullah (s.a.w) bersabda dengan mafhumnya:

“Amal soleh yang akan sampai kepada orang yang beriman selepas kematiannya ialah ilmu yang dipelajari kemudian dikembangkannya, anak yang soleh, naskhah al-Quran yang ditinggalkannya sebagai pusaka, bangunan masjid yang didirikan olehnya, rumah (wakaf) yang dibina untuk para musafir, terusan yang digalinya atau sedekah yang diberi semasa hidupnya ketika dia masih sihat. Amal soleh ini akan sampai kepadanya selepas kematiannya.”

(Riwayat Ibnu Majah)

Kelebihan berwakaf

Ia merupakan suatu amal soleh yang mana pahalanya akan diberikan secara berterusan oleh Allah SWT kepada pewakaf selagi mana harta atau ain yang diwakafkan itu kekal dan dimanfaatkan oleh orang ramai. Kedudukan harta wakaf adalah kekal sebagai hak Allah SWT, dengan demikian kedudukan harta wakaf tidak boleh dimiliki, dijual, dihibah (diberi) , diwarisi dan dipusakai.