Bismillahirrahmannirahim.

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi atas limpah kurnia dan izin-Nya, dapat saya memberikan sepatah dua kata di dalam laman web Pusat Wakaf dan Zakat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan ini.

Pada tahun ini, PWZ telah merangka pelbagai perancangan serta gerak kerja strategik bagi membantu Universiti menangani isu-isu utama, khususnya berkaitan kebajikan pelajar yang merangkumi aspek pengangkutan, keselamatan dan kesihatan. Barisan pengurusan PWZ turut memberi penekanan terhadap peningkatan keterlihatan PWZ melalui pelaksanaan program jerayawara ke fakulti-fakulti serta penyertaan aktif dalam program-program berimpak tinggi bagi meningkatkan kesedaran warga Universiti dan masyarakat terhadap inisiatif pendanaan yang diusahakan oleh PWZ.

PWZ turut mencatat pencapaian positif melalui pengukuhan kerjasama korporat dan peningkatan penyertaan staf USIM dalam skim potongan gaji bulanan. Seiring dengan itu, PWZ telah mengambil inisiatif untuk memperkukuh tadbir urus pengurusan dan pentadbiran melalui pemantapan terma rujukan tabung serta garis panduan pengurusan dana, yang menjadi antara komitmen signifikan hasil dedikasi seluruh warga kerja PWZ.

InsyaAllah, dengan sokongan doa dan harapan semua pihak, PWZ akan terus berkembang sebagai sebuah Pusat Tanggungjawab Universiti yang holistik dan berdaya saing dalam menyediakan perkhidmatan pengurusan zakat, wakaf, infaq dan endowmen secara amanah, efisien dan profesional demi kesejahteraan ummah.

Akhir kalam, diharapkan laman web  Pusat Wakaf danb Zakat ini mampu memberi manfaat dan informasi untuk rujukan kepada semua, InsyaAllah.

“Satu Amalan Sejuta Manfaat”

Prof. Madya Dr. Ahmad Zaki Salleh

Pengarah

Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ)