16 Disember 2024, Gombak – Majlis Pelancaran Program SISWA+ 2024 dan Program Jom Ke Sekolah (JKS) 2025 peringkat kebangsaan telah dilancarkan di Pusat Kebudayaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.
Majlis telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Datoโ Setia Dr Haji Mohd. Naโim Bin Haji Mokhtar. Inisiatif ini adalah salah satu usaha murni untuk menyediakan akses kepada teknologi dalam membantu proses pembelajaran mahasiswa dan keperluan persekolahan yang berkualiti kepada para pelajar yang memerlukannya di seluruh negara. Program ini di anjurkan oleh Yayasan Taqwa-MAIWP dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bertujuan untuk menyuntik semangat para pelajar serta mahasiswa untuk terus belajar dan berjaya dalam pelajaran serta sahsiah yang baik.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Rektor (Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan) Universti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Mohamed Aslam bin Mohamed Haneef, Pengerusi MAIWP, Tuan Syed Kamarulzaman Bin Syed Kabeer, Pengerusi Yayasan Taqwa-MAIWP, YBhg. Datoโ Mohammad Bin S.Ahmad, Pengurus Baitulmal MAIWP merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Taqwa-MAIWP dan Encik Ahmad Talmizi Bin Yahaya, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa-MAIWP.
USIM diwakili oleh Profesor Madya Dr. Mushaddad Hasbullah, Pengarah Pusat Wakaf dan Zakat, Profedor Madya Dr. Syahnaz Sulaiman, Timbalan Pengarah PWZ dan tiga orang pegawai pengiring bersama 23 orang wakil pelajar.
Seramai 400 orang mahasiswa dari Insitusi Pengajian Tinggi (IPT) terpilih di seluruh negara bakal menerima manfaat daripada sumbangan komputer riba ini, dengan jumlah keseluruhan sumbangan bagi Program SISWA+ 2024 ini berjumlah RM1.35 Juta. USIM juga telah menerima sebahagian manfaat ini dimana 35 orang pelajar telah menerima sumbangan komputer riba yang dengan jumlah nilaian RM118,125.00.
PWZ bagi pihak USIM mengucapkan setinggi penghargaan kepada Yayasan Taqwa-MAIWP atas sumbangan laptop yang disalurkan untuk pelajar USIM. Semoga sumbangan ini dapat memberi manfaat kepada pelajar terutamanya dalam sesi PdP mereka.