𝑡𝑰𝑳𝑨𝑰 – 25 π‘΅π’π’—π’†π’Žπ’ƒπ’†π’“ 2025, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) telah mengadakan Simbolik Penyerahan Kutipan Zakat dan Wakaf kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) serta penyerahan sumbangan oleh badan korporat tertinggi kepada USIM bersempena Majlis Santapan Konvokesyen ke-23.

USIM telah menyerahkan kutipan dana zakat berjumlah RM2,559,291.68 dan wakaf sebanyak RM181,607.23, iaitu jumlah terkumpul sehingga Oktober 2025, sebagai komitmen universiti dalam memastikan penyelarasan dana secara telus dan berimpak kepada manfaat ummah. Penyerahan disampaikan oleh YBhg. Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM kepada wakil MAINS Cawangan Nilai, Pn. Azizah Abdul Aziz, dan turut disaksikan oleh DYMM Tuanku Canselor, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Majlis turut menyaksikan penyerahan sumbangan daripada penyumbang badan korporat tertinggi kepada Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM yang disampaikan melalui Naib Canselor USIM, serta disaksikan oleh Tuanku Canselor sebagai simbol sokongan padu dan kerjasama strategik berterusan dalam memperkasa kebajikan pelajar serta pembangunan universiti.

Penyumbang badan korporat tertinggi terdiri daripada Lembaga Tabung Haji dengan sumbangan berjumlah RM750,000.00, diikuti oleh Maybank Islamic Berhad sebanyak RM283,000.00, Dana Asy-Syakirin sebanyak RM200,000.00 dan PLUS Malaysia Berhad berjumlah RM100,000.00.