Pengkajian sirah Saidatina Khadijah R.A menemukan kita banyak keistimewaan dan kehebatan beliau yang perlu diangkat dan dimartabatkan supaya menjadi rujukan dan ikutan umat sepanjang zaman. Wanita pertama yang memeluk Islam dan menjadi isteri junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W ini bukan sahaja memberi sumbangan yang besar dalam kejayaan dakwah Nabi S.A.W di semenanjung Tanah Arab bahkan menjadi qudwah tersohor dalam urusan peniagaan dan keusahawanan pada waktu itu. Ketokohan dan kecemerlangan beliau yang kurang diberi perhatian seharusnya digali dan dipelajari agar menjadi motivasi kejayaan khususnya kepada wanita.

 

Khadijah International Waqf (L) Foundation (KIWF) dengan kerjasama Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ), Universiti Sains Islam Malaysia mengambil inisiatif menonjolkan ketokohan dan sumbangan Saidatina Khadijah R.A dengan menjalankan kajian bertajuk “Tasawwur on Wealth Management of Saidatina Khadijah”. Kajian ini juga telah dibentangkan di Webinar Amal Sempena Hari Wanita Antarabangsa bertarikh 8 Mac 2021 yang bertemakan “Give to Enrich”.

 

Pengerusi KIWF, Pn. Hajah Rohani Shahir mengakui sangat teruja dengan hasil kajian yang dijalankan oleh pasukan penyelidik USIM yang diketuai oleh Dr. Hanim Misbah dan turut dianggotai oleh Profesor Dr. Zurina Shafii, Pengarah Pusat Wakaf dan Zakat, USIM. Beliau turut menegaskan ia perlu diaplikasikan secara lebih meluas dalam masyarakat.

 

Perbincangan strategik KIWF dan PWZ di USIM pada 15 Mac 2021 baru-baru ini memuktamadkan persepakatan untuk memperkukuhkan lagi hubungan kedua pihak bagi menjadikan agenda penyelidikan dan kerjasama inisiatif wakaf dengan melaksanakan inisiatif berikut:

 

  • Menyediakan laporan rasmi berkaitan geran penyelidikan jangka pendek berkaitan Saidatina Khadijah R.A sebagaimana penemuan yang dibentangkan dalam webinar.
  • Mengadakan majlis pelancaran laporan akhir penyelidikan.
  • Memetrai Memorandum Perjanjian (MoA) untuk geran sepadan (Matching Grant) untuk projek pembangunan produk wakaf hibrid khairi dan zurri untuk KIWF (L).

 

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USIM, Prof. Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani yang turut hadir di sesi perbicangan strategik ini menyokong sepenuhnya usaha PWZ untuk memperkasa profesionalisme wakaf di universiti serta menggesa untuk mengadakan kerjasama strategik serta jaringan yang lebih kuat dengan institusi tempatan atau antarabangsa yang mempunyai kepakaran dan kemampuan seperti KIWF ini untuk menghasilkan penyelidikan yang menjadi rujukan serta mempunyai impak yang besar kepada pembangunan ummah.

 

Pandangan ini turut disokong oleh Prof. Madya Dr. Asmady Haris, Penolong Naib Canselor Penjanaan dan Kelestarian Kewangan yang menjelaskan bahawa agenda penting pelan strategik universiti melalui PWZ untuk memperkasa projek pendanaan serta penjanaan universiti melalui sumber wakaf, infaq, endowmen dan pelbagai bentuk pembiayaan sosial Islam yang lain.