26 Mac 2024 – Syukur ke hadrat Ilahi, Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Bakul Rahmah PUNB-USIM bertempat di Executive Lounge, Kompleks Islam Tuanku Muhriz telah berjaya dilaksanakan. PWZ telah menerima sumbangan bagi dua projek berimpak tinggi iaitu Tabung It’am Muhtajin (Food for Needy) dan Tabung Infaq Ibnu Sina (Bantuan Perubatan Pelajar USIM) berjumlah RM50,000.00 daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB). Manfaat sumbangan ini telah disalurkan bagi Bantuan Bakul Rahmah USIM iaitu sumbangan berisi pek makanan sedia untuk dimakan (ready-to-eat) dan wang tunai kepada 100 orang pelajar asnaf USIM. PUNB juga turut menaja 800 orang pelajar bagi tajaan berbuka puasa di Kompleks Islam Tuanku Muhriz sempena Program Ihya’ Ramadan di USIM.

Selain itu, majlis turut disempurnakan dengan penyerahan mock-cheque sumbangan oleh YBrs. Encik Fauzi bin Zakaria, Pengerusi Jawatankuasa Zakat PUNB kepada Naib Canselor USIM, diikuti dengan simbolik penyampaian Bakul Rahmah kepada penerima sebelum diteruskan dengan majlis berbuka puasa serta solat maghrib berjemaah.

Tetamu jemputan yang hadir terdiri daripada Encik Fauzi bin Zakaria, Pengerusi Jawatankuasa Zakat PUNB, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin bin Md Shaarani, Naib Canselor USIM, Profesor Dr. Mohd Radhi Ibrahim, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato’ Dr. Adnan Mohamed Yusoff, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Dato’ Dr. Muhammad Tauffik Mohd Noor, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Madya Dr. Mushaddad Hasbullah, Pengarah Pusat Wakaf dan Zakat, Dr. Syahnaz Sulaiman, Timbalan Pengarah PWZ, barisan Ketua-Ketua Jabatan USIM dan tetamu daripada PUNB.

Sekalung penghargaan diucapkan kepada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad atas sumbangan yang diberikan. Semoga sumbangan ini dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung.