Rabu, 11 Oktober 2023 – Pusat Wakaf Dan Zakat (PWZ) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah berkunjung ke Jabatan Zakat, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) pada 11 Oktober yang lalu. Kunjungan hormat ini telah disertai oleh delegasi dari USIM yang diketuai oleh Profesor Dr. Adnan Mohamed Yusoff, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni diiringi oleh Puan Yuhani Jamiran, Penasihat Undang-Undang USIM, Profesor Madya Dr. Mushaddad Hasbullah Pengarah PWZ, Dr. Syahnaz Sulaiman, Timbalan Pengarah PWZ, Penolong Pendaftar PWZ dan Pegawai Undang-Undang Kanan, Jabatan Undang-Undang USIM.

Pihak MAINS pula diketuai oleh Dato’ Hj Nor Azmi Hj Musa, Pengarah Jabatan Zakat bersama dengan En. Zamri Ahmad Suhaimi, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kutipan, En. Mahadi Ali, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Agihan dan En Norazman Amat, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kaunseling dan Pembangunan Insan, Jabatan Zakat MAINS.

Antara agenda perbincangan adalah berkaitan urus tadbir zakat di PWZ USIM dan sesi perbincangan dua hala melibatkan isu dan cadangan solusi dalam pengurusan zakat. Perbincangan ini juga akan membantu dalam penambahbaikan prestasi projek dan program pembangunan asnaf khususnya kepada pelajar yang memerlukan. Semoga pertemuan ini dapat mengeratkan lagi hubungan strategik antara USIM dan MAINS untuk manfaat sejagat.