Zakat Gaji Beserta Kadarnya

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-56 yang bersidang pada 7 Mei 2003 telah membincangkan Zakat Gaji Beserta Kadarnya. Muzakarah telah memutuskan bahawa asas pengiraan zakat gaji dan pendapatan adalah berdasarkan kepada pendapatan kasar setahun dan kadar zakat yang dikenakan ialah sebanyak 2.5% daripada jumlah pendapatan tersebut.

Zakat Gaji & Pendapatan Professional-2

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 22 Jun 1997 telah membincangkan Zakat Gaji & Pendapatan Professional. Muzakarah telah memutuskan bahawa zakat ke atas pendapatan penggajian adalah wajib bagi orang yang layak mengeluarkan zakat.

Zakat Gaji & Pendapatan Professional

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-31 dan Muzakarah Khas yang bersidang pada 9 Disember 1992 telah membincangkan Zakat Gaji & Pendapatan Professional. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Umat Islam boleh mengeluarkan zakat daripada pendapatan gaji dan Jabatan Hasil Dalam Negeri hendaklah memberi rebet zakat ke atas jumlah yang dibayar itu.

Pendapatan profesional diwajibkan zakat kerana ia termasuk dalam zakat perniagaan.

(Rujukan Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan)

ZAKAT PENGGAJIAN
Fatwa Di Bawah Seksyen 34 (Warta: 29 April 1999). Fatwa yang dinyatakan dalam Jadual telah dibuat oleh Mufti bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan, menurut subseksyen 34(1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505], selepas dibincangkan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak, dan adalah disiarkan menurut subseksyen itu.

Zakat wajib dikeluarkan ke atas pendapatan daripada penggajian Islam termasuklah apa-apa upah, gaji, elaun, imbuhan dan bonus. Oleh itu adalah wajib bagi seseorang Islam mengeluarkan zakat daripada pendapatan yang layak dikenakan zakat daripada penggajian tersebut. (Bertarikh: 9 April 1999)

(Rujukan Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan)

Ia telah diwartakan pada 9 Mei 2002 di bawah Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989 yang berbunyi:

  1. Zakat pendapatan hukumnya adalah wajib ke atas umat Islam.
  2. Semua umat Islam yang tinggal atau bekerja di Selangor hendaklah membayar zakat pendapatan kepada Pusat (Lembaga) Zakat Selangor.

(Rujukan : Lembaga Zakat Selangor)

PADA menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 30 Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991 dan setelah diluluskan dengan sebulat suara oleh Jawatankuasa Syariah menurut subseksyen 33(6) Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991, maka Mufti Kerajaan Negeri Sembilan bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Syariah, dengan ini mengeluarkan Fatwa seperti yang dinyatakan dalam Jadual.

Jadual:

Zakat ke atas pendapatan bagi pengajian adalah wajib dikeluarkan oleh setiap orang Islam yang layak bagi seluruh Negeri Sembilan.

Bertarikh 13hb. Safar 149/8hb Jun 1998

[JMKNNS.209(01) 914/1;

PU/NS (JB) (Ag) 15/92 Jld.1.]

(Rujukan : Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan)

Zakat pendapatan gaji telah dilaksanakan sebagai suatu yang penting pada zaman Muawiyah dan Umar bin Abdul Aziz. Ia telah dikenali dengan nama Al-Ata dan di zaman moden ini dikenali sebagai Kasbul Amal. Tetapi akibat penjajahan dan pengaruh kuasa Barat, sistem percukaian moden telah mengenepikan sistem zakat ke atas gaji. Negeri Kelantan telah mewartakan fatwa bahawa zakat pendapatan atau zakat gaji adalah diwajibkan zakat pada 16hb. Mac 1999.

(Rujukan : Majlis Agama Islam Kelantan)

PADA menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 30 Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak Negeri Melaka 1991 dan setelah diluluskan dengan sebulat suara oleh Jawatankuasa Syariah menurut seksyen 33(6), Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak Negeri Melaka 1991, maka Mufti Kerajaan Negeri Melaka dengan ini membuat dan mengeluarkan bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Syariah, fatwa yang berikut: ‘Zakat ke atas pendapatan bagi penggajian adalah wajib dikeluarkan oleh setiap orang Islam yang layak bagi seluruh Negeri Melaka’. Bertarikh 22 Mei 2000. [PMM/0020 Klt. 2; PUN(M) 351/27]

(Rujukan : Jabatan Mufti Negeri Melaka)

Zakat Pendapatan bermaksud zakat yang dikenakan ke atas perolehan melalui gaji dan pendapatan bebas. Menurut Dr Yusof al-Qaradawi di dalam kitab Fiqh al-Zakat, pekerjaan manusia adakalanya bebas tanpa terikat dengan kerajaan. Di kalangan mereka ada yang jadi doktor, jurutera, peguam, tukang jahit, tukang kayu dan sebagainya. Adakalanya ia terikat dengan jabatan kerajaan, swasta dan sebagainya di mana mereka bekerja dan diberi gaji bulanan secara tetap. Pendapatan yang diperolehi itu dipanggil al-mal al-mustafad. Ia wajib dizakatkan. Kewajipan zakat ke atas pendapatan yang diperoleh dapat dilihat dan di fahami melalui maksud daripada  firman Allah s.w.t di dalam al-Quran, Surah al-Baqarah, 267

Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian daripada apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu, dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat)”,

Sebelum membuat bayaran zakat pendapatan, terdapat item-item atau perkara yang mempunyai perbelanjaan khusus harus ditolak terlebih dahulu seperti diri sendiri, isteri, anak-anak dan jumlah ini adalah sama walaupun perbelanjaan sara hidup meningkat. Terdapat perkara-perkaran lain yang harus ditolak namun jumlahnya adalah mengikut perbelanjaan individu tersebut seperti perbelanjaan kepada ibu-bapa, caruman kwsp, caruman LTH, caruman kepada institusi yang telah membayar zakat kepada ahli, takaful, dan perbelanjaan perubatan dan lain-lain perbelanjaan yang ada.

Untuk mengetahui jumlah pendapatan yang harus ditolak sebelum melaksanakan zakat pendapatan, individu tersebut haruslah pergi ke kaunter zakat atau mana-mana tempat yang telah disediakan oleh pihak berwajib untuk mengira jumlah potongan pendapatan yang sepatutnya di tolak.

Justeru zakat pendapatan yang dikenakan ke atas seseorang individu adalah pendapatan tahunan tolak (-) perbelanjaan yang disebut seperti di atas dan baki daripadanya adalah disebut pendapatan bersih. Maka pendapatan bersih ini sahaja yang di kenakan zakat sebanyak 2.5%, dan ini lah sebahagian daripada tanggungjawab individu Muslim yang perlu dilaksanakan demi kesejahteraan ummah dan membantu memperkukuhkan ekonomi umat Islam di Negara ini.

(Rujukan : Jabatan Mufti Negeri Terengganu)

Jawatankuasa fatwa telah mengkaji mengenai pembayaran zakat ke atas pendapatan gaji dan lain-lain sumber pendapatan yang diterima yang ada kaitan dengannya dan bersetuju memberi pandangan bahawa wang gaji, elaun, hadiah dan lain-lain pendapatan yang diberi oleh seseorang dari masa ke semasa hendaklah dengan bertaqlidkan Mazhab Hanafi disatukan dengan wang yang terkumpul dan hendaklah dizakatkan ketika genap haul yang bermula dari sejak cukup nisab, ini bermakna apa-apa pendapatan yang diperolehi pada pertengahan haul, hendaklah dizakatkan sekalipun belum genap haul bagi tiap-tiap satu pendapatan itu.

(Rujukan : Lembaga Zakat Negeri Kedah)

Di Negeri Pulau Pinang, Jawatankuasa Syariah Negeri telah menfatwakan zakat pendapatan wajib pada  04 Disember 1989. Nas/Dalil yang mewajibkannya adalah:

  1. Maksud firman Allah s.w.t : “Wahai orang-orang yang beriman keluarkanlah (zakat) sebahagian dari usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa yang telah Kami keluarkan dari bumi untuk kamu” (Al-Baqarah :267)
  2. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud “ Jika kamu memiliki 200 dirham dan genap haulnya maka di dalamnya (zakat) 5 dirham, dan tidak taqwa ke atas kamu sesuatu iaitu didalam emas, sehingga kamu memiliki 20 dinar. Apabila kamu memiliki 20 dinar dan genap haulnya, maka di dalamnya (zakat) setengah dinar” (Riwayat Abu Daud).

(Rujukan : Zakat Pulau Pinang)

Dimaklumkan bahawa segala jenis hasil pendapatan atau pulangan sebagai balasan perkhidmatan yang berupa gaji, upah, dividen, bonus, komisyen, hasil sewaan, royalti, hibah, imbuhan, elaun, pampasan, pencen dan lain-lain bentuk perolehan semasa hidup / bersara dan apa jua pendapatan berdasarkan kerjaya sebagai professional seperti khidmat guaman, khidmat nasihat perundangan, khidmat agen, khidmat perubatan, khidmat arkitek / jurutera, khidmat kepakaran dan khidmat-khidmat lain yang menghasilkan pendapatan diWAJIBkan zakat.

Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak (FATWA) negeri Sabah dalam muzakarahnya pada 26 Ogos 1998, telah memutuskan bahawa umat Islam negeri ini WAJIB membayar zakat pendapatan dari penggajian. Keputusan Fatwa ini telah diwartakan pada 20 Februari 2003 di bawah Seksyen 35 Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Tahun 1992.

(Rujukan : Kerajaan Negeri Sabah)