Syarat-Syarat Wajib Zakat

/Syarat-Syarat Wajib Zakat
Syarat-Syarat Wajib Zakat 2018-03-26T15:22:28+00:00

1. ISLAM

Zakat hanyalah disyariatkan oleh orang Islam sahaja, golongan bukan Islam tidak diminta untuk mengeluarkan zakat kerana zakat merupakan ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan menzahirkan kepatuhan diri sebagai seorang hamba.

2. MERDEKA

Bukan seorang hamba,  para ulama masih lagi  mengekalkan syarat merdeka sebagai salah satu syarat wajib berzakat walaupun sistem penghambaan tidak wujud di zaman ini.

3. MILIK SEMPURNA

Pemilikan terhadap sesebuah harta hendaklah jelas. Pemilikan yang  dimaksudkan adalah tidak ada pihak lain yang berhak keatas harta tersebut. Pemilik dapat mengendalikan harta tersebut secara bebas dan keuntungan daripadanya menjadi hak pemilik harta tersebut. Maka, tidak wajib zakat kepada harta yang tidak mempunyai pemilik tertentu atau dimiliki oleh awam seperti tanah wakaf, harta baitulmal dan seumpamanya.

4. CUKUP NISAB

Sesuatu harta yang dimiliki hendaklah mencukupi nisab yakni paras minima bagi menentukan wajib atau tidak sesuatu harta itu dikeluarkan zakat.  Setiap  harta mempunyai kadar nisabnya yang tersendiri. Misalnya bagi Zakat Pendapatan, Wang Simpanan, Saham dan Emas, nisabnya adalah nilaian 20 mithqal (85 gram emas). Manakala nisab bagi Zakat Ternakan adalah berpandukan ukuran ketetapan yang telah dinyatakan dalam nas hadis.

5. CUKUP HAUL

Cukup haul bermaksud telah berlalu satu tahun ke atas harta yang dimiliki dalam perkiraan tahun Hijrah iaitu selama 354 hari atau mengikut tahun masihi iaitu selama 365 hari. Asas perkiraan haul pada asalnya adalah mengikut tahun Hijrah, namun oleh kerana kebiasaan (uruf) pada hari ini penggunaan tahun masihi mengatasi penggunaan tahun Hijrah, maka praktis pengiraan zakat lebih tertumpu kepada kalendar tahun masihi.

Haul menjadi syarat dan penyelaras dalam sistem zakat. Pensyaratan haul terhadap sesetengah harta adalah pendapat jumhur ulama dan sebahagian mereka menukilkan ijmak. Ulama juga telah menetapkan bahawa pensyaratan haul tidak meliputi seluruh sistem zakat.  Zakat Pendapatan, Pertanian dan Rikaz tidak disyaratkan haul.

6. BERKEMBANG (AL-NAMA’)

Harta yang akan dikenakan zakat mestilah harta yang berkembang atau berpontensi untuk berkembang. Sifat berkembang harta adalah sifat yang memberikan pulangan dan pendapatan kepada pemiliknya. Secara praktis, ulama sejak zaman-berzaman tidak mewajibkan zakat terhadap haiwan yang dijadikan kenderaan, rumah kediaman, perabot rumah, alat-alat pekerjaan, dan lain-lain yang sifatnya tidak berkembang kerana ia dijadikan semata-mata untuk kegunaan peribadi. Syarat ini sebenarnya selari dengan makna asal perkataan ‘zakat’ dalam bahasa Arab yang memberi maksud bertambah dan berkembang. Syarat ini diambil daripada nas hadis Rasulullah SAW (yang bermaksud):

Dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, beliau bersabda: “Tidak ada kewajipan zakat atas seorang Muslim pada hambanya dan tidak pula pada kudanya.” (HR Bukhari & Muslim)

Antara sebab zakat hanya diwajibkan atas harta yang berkembang ialah agar pembayaran zakat tidak membawa kepada penyusutan harta. Lebih-lebih lagi sekiranya harta tersebut hanya satu-satunya sumber untuk kelangsungan hidup pemiliknya, maka jikalau zakat tetap dikenakan sudah tentu akan membawa kesusahan kepada pemiliknya.

Rujukan : Pusat Pungutan Zakat Wilayah (PPZ)