17 Disember 2019 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengagihkan sebanyak RM2 juta bantuan zakat kepada penuntut dan kakitangannya berstatus asnaf, selain turut memperuntukkan agihan tersebut melalui dana fisabilillah.

Pengarah Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM, Dr Mushaddad Hasbullah berkata, sejumlah RM2,013,915 diagihkan kepada 2,046 penuntut dan 52 kakitangan asnaf di bawah kategori fakir miskin, manakala sebanyak RM262,900 melalui dana fisabilillah melibatkan program bersifat ilmu, dakwah dan kebajikan.

Menurutnya, PWZ USIM merupakan ejen zakat dilantik Majlis Agama Islam Negeri Sembilan melalui Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan membolehkan PWZ memperoleh tiga perlapan agihan semula untuk diagihkan kepada golongan asnaf USIM.

“Selain itu, hasil kerjasama PWZ dan beberapa institusi korporat juga, PWZ menerima agihan semula zakat korporat daripada beberapa institusi korporat dan telah berjaya mengurangkan beban yuran pengajian kepada sebilangan besar pelajar asnaf,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain pengagihan zakat secara rutin katanya, pihak pengurusan PWZ juga mewujudkan pelbagai bentuk inisiatif di bawah peruntukan program pembangunan asnaf untuk para penerima zakat di USIM.

Antaranya program Anugerah Biasiswa Barakah yang menyasarkan pemberian biasiswa kepada pelajar asnaf terpilih dalam kalangan pelajar cemerlang dan juga pemberian baucer buku kepada lebih 400 pelajar asnaf USIM.

Dalam masa sama katanya, PWZ turut menjalankan program tanggungjawab sosial di luar USIM seperti Program Sumbangan Petrol Percuma kepada motosikal berkapasiti 150cc ke bawah dengan kerjasama Petronas Bandar Baru Nilai.

“Program sebegini dilihat mampu memberikan impak positif dalam memacu ekonomi ummah dan menjadikan USIM sebagai institusi pendidikan tinggi yang sangat prihatin terhadap kebajikan pelajar dan staf serta penduduk sekitar,” katanya.