𝐊𝐮𝐚𝐥𝐚 𝐋𝐮𝐦𝐩𝐮𝐫, 𝟑𝟎 𝐎𝐠𝐨𝐬 – Sempena ulang tahun ke-50, Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) telah menganugerahkan biasiswa (BPMB Award of Group’s Undergraduate Scholarship (BAGUS)) kepada 50 pelajar bagi melanjutkan pengajian di universiti terpilih dalam dan luar negara. Satu majlis penganugerahan telah diadakan pada 30 Ogos 2023 di Sheraton Imperial Hotel, Kuala Lumpur. Dalam majlis tersebut, YBrs. En. Roni Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif BPMB, telah menyatakan hasrat untuk menjadikan BPMB sebagai satu hab bakat untuk mencipta impak sosio-ekonomi dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang mampan. Selain itu, Prof. Dr. Aznan Hasan selaku Pengerusi Jawatankuasa Syariah BPMB turut menyatakan bahawa program ini merupakan sebuah penghormatan besar kepada BPMB kerana dapat menawarkan peluang pendidikan berkualiti kepada anak-anak asnaf yang menerima Biasiswa BAGUS daripada peruntukan pendidikan zakat BPMB.

Bagi menyahut misi BPMB untuk mewujudkan sistem sokongan pembelajaran yang komprehensif, USIM telah menyenarai pendek 10 pelajar asnaf yang cemerlang akademik dan kokurikulum dan mereka telah berjaya dipilih sebagai sebahagian penerima biasiswa tersebut. Pelajar tersebut bakal menerima tajaan berbentuk yuran pengajian, penginapan, elaun sara hidup bulanan, elaun buku dan komputer riba.

Majlis turut dihadiri oleh barisan Pengurusan Tertinggi BPMB, ahli Lembaga Pengarah BPMB, barisan Jawatankuasa Syariah BPMB, barisan Pengurusan Tertinggi dari universiti jemputan, para ibu bapa dan penerima biasiswa BAGUS. USIM diwakili oleh Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Dr. Syahnaz Sulaiman, Timbalan Pengarah PWZ dan Cik Hakimah Hamir, Penolong Pendaftar PWZ. Pihak BPMB dan PWZ selaku wakil USIM mengucapkan ucapan tahniah dan selamat maju jaya kepada penerima Biasiswa BAGUS.