𝟐𝟖 – 𝟐𝟗 𝐉𝐮𝐥𝐚𝐢 𝟐𝟎𝟐𝟔 – Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menghadiri Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2026 yang berlangsung pada 28 dan 29 Julai 2026 bertempat di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Nerus, Terengganu.
PWZ USIM diwakili oleh Prof. Madya Dr. Nur Ainna Ramli, Timbalan Pengarah PWZ USIM, bersama Puan Nurul Husna Annuar, Penolong Pendaftar PWZ USIM.
Konvensyen ini dianjurkan oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) serta Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Majlis perasmian konvensyen telah disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Konvensyen ini menjadi wadah strategik yang menghimpunkan tokoh, ilmuwan dan pengamal industri bagi membincangkan perkembangan semasa serta potensi Baitulmal sebagai instrumen kewangan sosial Islam dalam memperkasa sosioekonomi ummah.
Penyertaan PWZ USIM dalam konvensyen ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh jaringan strategik, memperluas perkongsian ilmu serta mengikuti perkembangan dan amalan terbaik semasa dalam ekosistem zakat, wakaf dan kewangan sosial Islam.
