Putrajaya, 16 Julai 2025 – Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) telah menjemput Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM bersama wakil Universiti Awam (UA) lain untuk menghadiri satu sesi perbincangan bersama International Institute of Islamic Waqf (IIIW) yang diwakili oleh delegasi dari beberapa negara Teluk, termasuk Arab Saudi, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Oman dan Jordan. Sesi ini bertujuan untuk memperkukuh pemahaman serta meneroka pendekatan terbaik dalam pengurusan aset dan wakaf di institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Dalam sesi tersebut, Prof. Madya Dr. Ahmad Zaki, Pengarah PWZ USIM merangkap Exco Pengkalan Data dan Pelaporan, Majlis Wakaf, Endowmen Dan Zakat (MAWEZ) Universiti Awam, telah berkongsi pandangan serta latar belakang pelaksanaan pengurusan wakaf di USIM, selain membentangkan amalan terbaik yang turut dilaksanakan oleh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain.

PWZ USIM amat menghargai jemputan dan peluang yang diberikan oleh pihak JPT untuk turut serta dalam sesi ini. Perbincangan sebegini bukan sahaja membuka ruang kerjasama strategik dengan institusi antarabangsa, malah menjadi platform penting dalam memperkasa peranan wakaf sebagai pemangkin pembangunan pendidikan tinggi yang mampan di Malaysia.