Kuala Terengganu, 27 Jun 2025 – Majlis To-Gather Makan Malam Perdana Alumni USIM Chapter Pantai Timur 2025 yang berlangsung di Kuala Terengganu telah berjaya menghimpunkan para alumni Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dari pelbagai latar belakang dalam suasana penuh mesra dan harmoni.

Majlis yang dianjurkan oleh Pusat Alumni dan Kerjaya USIM ini bukan sahaja sebagai medan mengeratkan ukhuwah dalam kalangan alumni, malah turut menyaksikan satu detik bersejarah dengan pelancaran rasmi Tabung Budi Alumni USIM (BUDI) oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Mushaddad Hasbullah, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA). Tabung ini merupakan antara kerjasama dan sinergi erat antara PWZ dan Pusat Alumni dan Kerjaya USIM dalam mencapai objektifnya kepada universiti.

Tabung Budi Alumni (BUDI) diperkenalkan sebagai satu platform strategik bagi menghimpunkan sumbangan dana daripada para alumni USIM, yang seterusnya akan disalurkan untuk menyokong pelbagai aktiviti pembangunan mahasiswa/i serta kebajikan pelajar. Inisiatif ini mencerminkan semangat kebersamaan dan kepedulian alumni dalam menyumbang kembali kepada universiti serta generasi pelajar yang akan datang.