Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Dan Salam Sejahtera. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud:
“Perumpamaan orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah adalah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai; setiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Allah SWT melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui”.
Wakaf merupakan salah satu instrumen ekonomi yang sangat penting dalam Islam. Sejarah telah mencatatkan bahawa wakaf telah banyak membantu umat Islam sejak zaman Rasulullah SAW sehinggalah pada zaman kegemilangan Islam berikutnya. Institusi Wakaf telah digunakan untuk membiayai projek – projek kebajikan yang menguntungkan semua rakyat di dalam kerajaan Islam. Antara institusi–institusi awam dan kemasyarakatan yang dibiayai oleh sistem wakaf adalah sektor pendidikan, masjid, kesihatan dan ketenteraan.
Menyahut cabaran ini, Pusat Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) mengorak langkah ke hadapan untuk menjadikan USIM sebagai model Universiti wakaf pada abad ke 15 hijrah. PWZ telah menyediakan platform terbaik untuk warga USIM khususnya untuk bersama-sama berwakaf dengan kadar mengikut kemampuan masing-masing. PWZ menyediakan wakaf tapak untuk pembelian klinik pakar USIM yang memerlukan 1.9 juta untuk membeli 3 blok bangunan 2 tingkat. Selain itu juga wakaf tunai turut diperkenalkan untuk pembinaan infrastruktur yang lain seperti pembinaan kolej-kolej kediaman, pusat konvensyen dan lain-lain.
Penghasilan profil ini bertujuan memaklumkan kepada warga USIM khususnya dan masyarakat awam amnya betapa PWZ begitu komited untuk membangunkan institusi wakaf. Saya berharap, agar apa yang telah dirancang untuk membangunkan projek-projek wakaf mendapat redha Allah SWT, di samping sokongan berterusan pihak pengurusan tertinggi, warga USIM dan seluruh umat Islam.
Sekian, Wassalam.
Prof. Madya Dr. Wan Abdul Fattah Bin Wan Ismail
Pengarah, Pusat Wakaf dan Zakat
Universiti Sains Islam Malaysia